Tuesday, December 5, 2017

Tabung Nenas

Tabung Nenas itu dibeli oleh Mak di Ayer Hitam, Johor.  Agaknya dia terpandang timbunan wang syiling di atas meja cermin di dalam bilik yang aku huni di Bangsar. Ketika itu aku sedang menuntut di ITM Shah Alam, tetapi tidak duduk di asrama. Aku menumpang di rumah Kak Esah dan menaiki bas Klang Banting dari "bus stand" Kelang (di KL) selepas menaiki bas Sri Jaya bernombor 5 dari Bangsar.

Aku masih ingat pada ketika aku pulang dari kuliah suatu petang, hati aku melonjak melihat kereta Toyota KE50 Abah di laman rumah Kak Esah. Aku hampir berlari memasuki rumah terus berlari ke atas ke bilik bersebelahan bilikku yang selalu menjadi tempat penginapan Abah dan Mak bila mereka berkunjung ke KL. Setelah berbual sebentar, aku meminta diri sebentar kerana belum solat Asar.

Masuk ke bilik, aku terlihat tabung seramik bentuk nenas yang agak besar tersergam di atas meja cerminku dan timbunan wang syiling tiada lagi. Aku mengangkat tabung yang ku rasakan sama besar dengan kepala ku dan menggoncangnya. Syiling sudah ada rumah baru. Sebenarnya aku tidaklah begitu teruja bila melihat tabung itu. Ia memakan ruang yang besar di atas mejaku yang bertaburan dengan sikat, minyak rambut, minyak wangi, radio dan sebagainya. Tetapi, aku terharu kerana Mak terkenangkan aku bila dia berhenti di Ayer Hitam dalam perjalanan ke JB dari Muar, dan membeli dan menyimpan dan membawa tabung itu ke KL semata-mata untuk aku, anaknya yang hanya menyusahkan hidupnya sejak lahir.

******
20 puluh tahun kemudian, di Bukit Jelutong, tabung itu duduk dimeja solek bilik ku dan aku masih lagi mengisinya dengan lebihan syiling setiap hari. Dan, bila penuh, aku dan isteri dan anak-anak seronok mengorek duit syiling, mengiranya dan memasukakan dalam beg plastik untuk dihantar ke bank.

Satu hari, entah kenapa, sedang aku mengemas bilik tidur, aku telah mengalihkan tabung itu ke rak buku, yang aku kira lebih selamat. Di meja solek itu ada masanya ia terlalu banyak aktiviti dan beberapa kali aku tersinggung tabung itu dengan dan ia hampir jatuh. Dirak buku itu memang lebih selamat tetapi ia menyukarkan bila hendak mengambil buku atau barangan di situ.... lantas isteriku memindahkan semula tabung itu ke meja solek.

Anak bongsu ku, masuk ke bilik dan ketika mencari sesuatu di atas meja itu, tertepis tabung dan ia jatuh terus masuk ke dalam bakul sampah. Ia pecah berderai tetapi semua serpihan berkecai di dalam bakul sampah yang kebetulan ada disisi meja solek itu. Aku sedih... tak dapat berkata apa-apa. Anak bongsu ku hanya berkata, nasib baik masuk bakul sampah terus.

Aku mengutip serpihan dan cuba melekatkan semula.... tetapi, ia tidak seperti sedia kala... dan tidak sesuai lagi untuk diperagakan di meja solek. Aku menyimpan serpihan didalam kotak untuk beberapa lama... tetapi, akhirnya aku terpaksa akur dengan hakikat yang tabung nenas pemberian mak sudah tiada lagi....

Bagi anak-anak dan isteriku, tabung itu hanya tabung. Bagi aku, dia adalah satu simbol ikatan antara aku dan mak yang telah kembali ke Rahmatullah tidak lama dulu. Ia sangat istemewa pada ku, hingga kekadang bila aku rasa rindu pada mak, aku akan memeluk tabung nenas itu. Atau, mungkinkah ia simbol ke alpaan aku sebagai anak yang tidak dapat lebih kerap mendampingi mak di hari-hari akhirnya.

Mungkin aku hanya inginkan sesuatu yang abadi....., namun, yang pastinya tiada yang kekal.

No comments:

Post a Comment

Eid

Silap dan salahmu aku maafkan, tapi perbuatanmu, menyakiti hatiku, susah nak dipadamkan. Bila sampai di sana nanti, bila ditany...