Tuesday, December 5, 2017

Hikayat Sang Sudin Jakpar

Sebermula maka tersebutlah kesah sa-orang jejaka yang sa-umur hidup-nya menchari perawan yang sempurna, memasang akan niat untuk di-jadikan isteri. Tiada-lah dia dapat menchari-nya kerna sa-tiap yang mendekati-nya tiada-lah dia inginkan mereka itu, dan sa-tiap yang dia ingin mendekati tiadalah pula mereka itu menginginkan jejaka itu. Sa-telah sa-kian lama menchari dia akan perawan sechochok dengan-nya di-seluruh kampong halaman-nya, pergi-lah jejaka itu mengembara pula keluar dari kampung di-muara sungai, ke-arah utara menuju kota besar kuala lumpur. Hatta, maka adanya jejaka itu mendaki bukit ilmu di-negeri shah alam, shahadan, mengaji ilmu perakaunan sa-lama sa-tengah dasawarsa. Kalakian mengaji ilmu itu-lah jejaka itu bertemu puteri dari tumasik.

Sa-lama mana pengajian jejaka itu, tiadalah dia menyatakan hasrat hati-nya kepada puteri tumasik itu, kerana hatinya masih lagi belom pasti melainkan dia masih menchoba untuk mendekati perawan-perawan lain, hingga-lah tiba hari terakhir pengajian, hatta, berkata-lah jejaka itu kepada puteri tumasik, "Wahai, sang puteri, apakah kau sudi untuk menjadi isteri-ku?" Maka jawap sang puteri, "Tengok-lah bagaimana..."

Alangkah gembira hati jejaka itu, hatta pulang-lah dia ke rumah dan menyembah di kaki bonda untuk memaklumkan bahawa pencharian selama ini untuk mendapatkan sa-orang isteri kini telah berakhir. Tiada-lah bonda jejaka itu akan apa jua halangan ka-atas pilihan hati anaknya, dengan yang demikian itu juga maka terus-lah Bonda meminang puteri tumasik itu.

Arakian, jejaka itu dan puteri tumasik itu sering-lah berjumpa memadu asmara, dua-belas purnama lama-nya, hingga-lah tanggal 20 hari bulan Jamadil-awal pada tahun hijriah 1431 kedua mereka diijab kabulkan sa-bagai suami isteri.

Demikian-lah ada-nya.

No comments:

Post a Comment

Eid

Silap dan salahmu aku maafkan, tapi perbuatanmu, menyakiti hatiku, susah nak dipadamkan. Bila sampai di sana nanti, bila ditany...