Sunday, June 17, 2018

Kemusykilan


Bolehkah aku
menyapu kemelut ini ke bawah permaidani
supaya aku dapat mulakan hari baru
pada laman mukasurat baru
suci dan putih…..

bolehkah aku
membasuh kesan dosa kesilapan lalu
menggilap kanta supaya dapat aku
merubah fikiran berdasar logik
bukan emosi……

bolehkah aku
berlari pergi menjauhkan diri
dari semua yangku sayang
dari kasih mereka yang tiada syarat
yang kekadang ku rasa
membebankan….

bolehkah aku
membelakangkan nikmat bumi fana ini
melucutkan pakaian dunia
membiarkan nafsu
kelaparan….

boleh kah aku
memandang jauh melewati pepohon ego
untuk aku melihat saujana rimba
yang pastinya membuatku
rasa kerdil.....

bolehkan aku
menjadi tabah dan berani
tiada rasa malu kepada manusia
untuk menggemis dan meminta
walau yang ku pinta itu
hak ku…..

boleh kah aku
menjawab soalan
menyoal jawaban
menerima pandangan
teguhkan pendirian….

bolehkah aku
menerima diriku
damai dalam jiwaku
mahu apa yang aku ada
ada apa yang aku mahu….

bolehkah aku
Kau terima didalam syurgaMu
sedang aku selalu riak dan takabur
kerana aku rasa aku boleh
tanpa Mu…..

Sbjaafar 28 Julai 2009

No comments:

Post a Comment

Eid

Silap dan salahmu aku maafkan, tapi perbuatanmu, menyakiti hatiku, susah nak dipadamkan. Bila sampai di sana nanti, bila ditany...